Apa itu Takaful dan Hibah?

Kebelakangan ini, kita selalu mendengar tentang insurans takaful dan juga hibah. Tetapi, berapa ramaikah antara kita yang tahu apa maksud kedua-dua perkara ini? Walaupun terdapatnya lebih banyak syarikat insurans yang wujud untuk memenuhi permintaan orang Islam yang memilih perlindungan insurans bukan konvensional, masih ramai lagi yang tidak tahu apa maksud dan juga perbezaan antara insurans konvensional dan takaful.

Jadi, apakah itu takaful?

Takaful adalah satu perkataan yang berasal dari perkataan Arab “kafala” yang bermaksud “jamin” dan perkataan Takaful itu sendiri membawa maksud saling menjamin. Sistem takaful berlandaskan konsep saling menjamin antara satu sama lain yang bertujuan mengalakkan tolong menolong dan perpaduan di kalangan para peserta apabila berlakunya musibah atau kerugian tertentu.

Konsep takaful sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru. Ianya sudah diguna pakai sejak 1400 tahun lalu. Salah satu daripadanya ialah penggunaan konsep “Aqilah” yang digunapakai oleh masyarakat Arab jahiliyah. Konsep ini berlandaskan kerjasama, tanggungjawab, jaminan, perlindungan dan saling membantu dalam kalangan pesertanya. Contohnya, jika terjadi perselisihan diantara kesukuan atau kabilah yang wujud pada ketika itu dan dikehendaki membayar ganti rugi dari pihak yang bersalah. Bayaran ganti rugi itu akan dikutip di kalangan ahli suku atau Kabilah. Ini adalah berpandukan kepada beberapa hadith Rasulullah:

“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, janganlah kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. (Al-Maidah: 2)”

“Allah akan sentiasa membantu hamba-Nya selagi mereka saling membantu antara satu sama lain. (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Imam Abu Daud)”

“Ibarat hubungan dan perasaan orang-orang beriman sesama mereka adalah seperti jasad, apabila salah satu daripadanya ditimpa kesusahan, maka seluruh anggota yang lain juga akan merasainya. (Diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim)”

“Demi hayatku yang berada dalam kekuasaan Allah, tiada siapa yang akan masuk Syurga jika beliau tidak melindungi jirannya yang berada dalam kesusahan. (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad)”

Takaful yang diamalkan pada hari ini pula Takaful berbentuk perniagaan (Tijari). Syarikat-syarikat yang menawarkan pelan perlindungan takaful perlulah berlandaskan prinsip syariah iaitu terhindar daripada unsur Riba (bunga), Gharar (ketidakpastian), Maisir (perjudian) dan adanya unsur tabarru‘ (derma ikhlas untuk membantu). Perjalanan operasi syarikat juga menggunakan dua konsep muamalah Islam iaitu konsep “Mudharabah” (kerjasama) dan “Wakalah” (agensi) dan mematuhi Akta Takaful 1984.

Dalam bahasa yang lebih mudah, takaful adalah sebuah tabung dimana semua wang yang disumbangkan (didermakan) oleh pemegang polisi akan dikumpul dan kemudiannya dilaburkan pula kepada amanah saham yang patuh pada syariah. Hasil biakan jumlah wang yang dikumpul selepas dilaburkan pula akan diguna untuk membayar pampasan bila berlakunya tuntutan.

Hibah

Tahukah anda juga bahawa anda boleh menghibahkan pampasan takaful jika berlakunya kematian? Tetapi, apa pulah hibah?
Hibah dalam bahasa mudahnya ialah pemberian atau hadiah yang diberi semasa hayat pemberi atas dasar kasih sayang. Jika lebih teknikal, hibah adalah pemberian sama ada dalam bentuk ain atau manfaat, manakala mengikut istilah syarak, ianya suatu akad pemberian harta yang dilakukan oleh seseorang secara sukarela kepada seseorang yang lain ketika tempoh hidupnya tanpa sebarang balasan (‘iwad). Hibah juga adalah satu amalah sunat yang digalakkan dalam Islam.

Terdapat empat (4) rukun hibah:

  1. Pemberi hibah (al-wahib)
    Pemberi mestilah seorang yang sempurna akal, baligh dan juga mestilah memiliki harta yang dihibahkan serta berkuasa penuh ke atas hartanya.
  2. Penerima hibah (al-mawhub lahu)
    Sesiapa sahaja boleh menjadi penerima, asal boleh memiliki harta. Bagi yang belum mukallaf seperti belum akil baligh atau kurang upaya, hendaklah ada wali atau pemegang amanah yang boleh menerima hibah untuk pihaknya.
  3. Harta yang dihibahkan (al-mawhub)
    Halal, bernilai di sisi syarak, milik sempurna pemberi hibah, boleh diserah milik dan wujud pada masa hibah.
  4. Lafaz ijab dan kabul (sighah)
    Lafaz atau perbuatan yang membawa makna pemberian dan penerimaan hibah.

Apa pula kelebihan hibah?

Apabila anda menghibahkan pampasan anda pada orang tersayang, anda dalam masa yang sama menjamin masa depan mereka. Sebarang pampasan yang anda tinggalkan akan diagihkan pada yang anda mahu mengikut kehendak anda. Ini boleh membantu menyelesaikan hutang anda yang tidak sempat diselesaikan semasa hayat. Selain itu, pampasan yang anda telah hibahkan tidak boleh dituntut oleh waris lain dan boleh mengelakkan perebutan harta yang ditinggalkan kepada anak dan/atau pasangan anda.

Untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang perlindungan takaful dan juga cara-cara menghibahkan pampasan takaful anda, hubungilah agen-agen insurans bertauliah melalui “ONLINE CHAT” di laman sesawang GoInsurans kami. Anda akan dapat berhubung dengan agen-agen takaful Malaysia mengikut keselesaan dan juga pilihan waktu yang diingini.

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *